Marilah  kita bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan  harian kita. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik  atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.  Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan  budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai  contoh amalan yang terbalik:-
1. Amalan kenduri arwah beberapa  malam yang dilakukan oleh keluarga simati selepas sesuatu kematian  (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik  dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah  menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga simati untuk  meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga tersebut  telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja  untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir  makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak  yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati yang  belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
2. Kalau  hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap  Assalamu'alaikum berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau  tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan  kenduri. Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula  Assalamu'alaikum tak berisi. Sepatutnya kalau menziarah keluarga si  matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi  pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia  menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara  kita berpakaian cantik kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik  di rumah maupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak  berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.
4. Kalau  menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak  makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,  sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang  dihidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5.  Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat  malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah  seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6.  Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang  berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta  perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di  bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya  perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan  kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan  membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah  tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah  kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak  bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita  mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau  anak mereka gagal dalam periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen  walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau anak tak boleh baca Quran atau  solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau  kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan  RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak  bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan.
Bukankah  terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika anak tidak  dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9.  Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang,  mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak  mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak  panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu  manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan  malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan  suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah,  masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk  suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik  ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
Cukup dengan  contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat  sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita  menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah  mengikut selera kita.
Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
http://tazkirah...i.blogspot.com/
 

 
 

No comments:
Post a Comment