Hari ini, bagaikan menelan ubat yang  pahit dan tak disukai, memang terlalu banyak perkara negatif yang  ditimbulkan kerana pengamal poligami yang telah menukar wajah keindahan  yang boleh dicari di dalamnya sehingga menyebabkan ia menjadi terlalu  negatif dalam masyarakat kita hari ini.
Pelbagai alasan yang diberikan mengenai  poligami ini. Isteri yang menolak suami berpoligami dikatakan sebagai  perempuan yang cemburu, beremosi dan tidak dapat menerima hakikat hidup  bahawa suaminya bukan miliknya. Manakala pihak si lelaki pula memberikan  alasan perkahwinan kedua bukan (ataupun bukan semata-mata) kerana  memenuhi naluri dan nafsu lelaki secara halal, tetapi ada banyak sebab  lain yang mendorong mereka berkahwin lagi. Seperti lelaki yang  mengemukakan pelbagai sebab yang mendorong mereka kepada pengalaman  poligami, begitu juga wanita mengemukakan pelbagai sebab mengapa  suaminya/ lelaki tidak seharusnya berkahwin lagi.
 Semoga kisah yang dipaparkan ini  memberikan kepada kita beberapa pandangan lain yang mungkin kita sukai  dan juga mungkin tidak disukai.
Kisah 1: (kejadian  berlaku lebih dari 50 tahun yang lalu)
Keriuhan di dalam rumah kayu bertangga  batu merah itu semakin rancak. Para tetamu memenuhi tempat. Pengantin  perempuan sudah siap diandam. Jurunikah dan wali si ayah beserta dua  saksi sudah sedia. Tetamu yang hadir pada malam itu dijamu teh panas dan  kuih tradisi. Esok kenduri besar, mereka akan datang lagi.
Tetapi, tetamu paling utama masih belum  muncul. Debar pengantin perempuan sejak berhari-hari semakin bertambah.  Debar untuk menempuh kehidupan bergelar seorang isteri. Debar menempuh  suasana baru kelak. Dia akan keluar dari rumahnya yang telah dihabiskan  semua hayatnya sejak dari kecil. Dia akan ke tempat baru, keluarga baru  dan semua serba baru yang akan dikenalinya. Suasana baru, keluarga baru,  saudara-mara baru dan juga teman dan kenalan yang baru. Selang sehari  selepas majlis kendurinya nanti dia akan menjadi orang baru dalam  suasana-suasana dan hubungan kekeluargaan itu.
Waktu isyak sudah lama berakhir. Si ayah  mundar-mandir. Rimas menunggu. Benarlah penantian suatu penyeksaan.  Entah apa yang sedang berlaku. Sepatutnya rombongan keluarga dan  pengantin lelaki sudah sampai untuk menunaikan upacara akad nikah.  Tetamu di kalangan keluarga dan teman rapat sudah semakin ramai. Saudara  yang jauh sudah berhari-hari tiba. Esok lusa mereka ingin pulang.  Datang semata meraikan perkahwinan ini.
Jika mampu ditahan masa dari bergerak.  Ingin sahaja disuruh berhenti. Walaupun kita tetap duduk ataupun tidak  bergerak, masa tetap bergerak dan berlalu. Penungguan sedetik beralih  dan berlalu. Merimaskan hati ayah. Mendera jiwa si pengantin. Para  tetamu sudah habiskan tegukan dan suapan mereka. Kini mereka juga mula  tertanya-tanya apakah yang berlaku. Musibah apakah yang sedang menimpa  si pengantin lelaki. Apakah ada kemalangan buruk terjadi telah terjadi.  Apakah itu, apakah ini, banyak sudah diborak, dibisik dan ditanya-tanya. 
Setelah sebegitu lama menanti, sampailah  sebuah motosikal (ataupun basikal). Si ayah pengantin perempuan berlari  menerpa turun. Dalam keadaan yang meributkan itu, si penunggang itu,  mewakili keluarga pengantin lelaki memaklumkan pengantin lelaki tidak  akan datang dan tiada perkahwinan akan berlangsung. Si ayah bagaikan  ingin rebah untuk menanggung berita buruk itu. Apalah salahnya anak  perempuannya sehingga dihukum dengan keputusan itu? Riuh di luar rumah  sudah sampai ke dalam. Berita itu sudah sampai ke pengetahuan si bakal  pengantin. Bisik-bisik menjadi-jadi. Pembatalan perkahwinan itu menjadi  tanda-tanya. Apakah erti semua ini? Semua mencari-cari sebab. Apakah  sebabnya berpunca dari pengantin lelaki? atau apakah sebabnya berpunca  dari pengantin perempuan?
Malu dan kehormatan sebuah keluarga  sudah terhina pada malam itu. Bagi lelaki, mereka masih lagi ada peluang  untuk meneruskan hidup mereka seperti biasa. Jika malu pun hanya  seketika. Tetapi bagi perempuan lebih-lebih anak gadis, sekali imejnya  tercalar dan dihina, keluarga lelaki manakah lagi yang sudi datang  melamarnya biarpun aibnya bukan punca dari perempuan. Jika adapun, si  perempuan perlu menunggu sekian lama sehingga kisah-kisahnya ini  tenggelam dan tak berungkit lagi. Sewaktu itu, usianya pasti sudah  bertambah. Dirinya pasti semakin tua, keayuannya juga akan luntur.
Berbalik kepada kisah ini, episodnya  tidak berhenti di situ. Ia tak berhenti pada pembatalan pernikahan.  pada tulisan tazkirah ringkas Ummu Abbas,  ‘bahawa antara tanda-tanda kasih sayang Allah ialah Dia menyelamatkan  hamba-hamba-Nya dari fitnah’.
Di kalangan tetamu yang hadir, ada  seorang wanita yang dipanggil sebagai Mak Engku. Orangnya masih muda,  dalam lingkungan 30 an. Mak Engku bangkit mencari-cari suaminya. Terus  dipegang suaminya dan berbincang dengannya. Episod seterusnya, Mak Engku  bertemu si ayah pengantin, mewakili suaminya, meminang anak  perempuannya untuk suaminya.
Pencarian hikmah di atas apa yang dibuat oleh Mak Engku, saya percaya  dapat difikirkan dengan mendalam oleh rakan-rakan semua.
Apabila timbul isu poligami dan  ditimbulkan tuduhan umum wanita cepat beremosi. Hati saya bagaikan  ditarik-tarik mengenangkan kisah ini. Kisah seorang wanita yang sanggup  berkorban untuk wanita lain sekalipun saudaranya itu tiada pertalian  keluarga dengannya.
 

 
 

No comments:
Post a Comment