Hari ini, bagaikan menelan ubat yang pahit dan tak disukai, memang terlalu banyak perkara negatif yang ditimbulkan kerana pengamal poligami yang telah menukar wajah keindahan yang boleh dicari di dalamnya sehingga menyebabkan ia menjadi terlalu negatif dalam masyarakat kita hari ini.
Pelbagai alasan yang diberikan mengenai poligami ini. Isteri yang menolak suami berpoligami dikatakan sebagai perempuan yang cemburu, beremosi dan tidak dapat menerima hakikat hidup bahawa suaminya bukan miliknya. Manakala pihak si lelaki pula memberikan alasan perkahwinan kedua bukan (ataupun bukan semata-mata) kerana memenuhi naluri dan nafsu lelaki secara halal, tetapi ada banyak sebab lain yang mendorong mereka berkahwin lagi. Seperti lelaki yang mengemukakan pelbagai sebab yang mendorong mereka kepada pengalaman poligami, begitu juga wanita mengemukakan pelbagai sebab mengapa suaminya/ lelaki tidak seharusnya berkahwin lagi.
Semoga kisah yang dipaparkan ini memberikan kepada kita beberapa pandangan lain yang mungkin kita sukai dan juga mungkin tidak disukai.
Kisah 1: (kejadian berlaku lebih dari 50 tahun yang lalu)
Keriuhan di dalam rumah kayu bertangga batu merah itu semakin rancak. Para tetamu memenuhi tempat. Pengantin perempuan sudah siap diandam. Jurunikah dan wali si ayah beserta dua saksi sudah sedia. Tetamu yang hadir pada malam itu dijamu teh panas dan kuih tradisi. Esok kenduri besar, mereka akan datang lagi.
Tetapi, tetamu paling utama masih belum muncul. Debar pengantin perempuan sejak berhari-hari semakin bertambah. Debar untuk menempuh kehidupan bergelar seorang isteri. Debar menempuh suasana baru kelak. Dia akan keluar dari rumahnya yang telah dihabiskan semua hayatnya sejak dari kecil. Dia akan ke tempat baru, keluarga baru dan semua serba baru yang akan dikenalinya. Suasana baru, keluarga baru, saudara-mara baru dan juga teman dan kenalan yang baru. Selang sehari selepas majlis kendurinya nanti dia akan menjadi orang baru dalam suasana-suasana dan hubungan kekeluargaan itu.
Waktu isyak sudah lama berakhir. Si ayah mundar-mandir. Rimas menunggu. Benarlah penantian suatu penyeksaan. Entah apa yang sedang berlaku. Sepatutnya rombongan keluarga dan pengantin lelaki sudah sampai untuk menunaikan upacara akad nikah. Tetamu di kalangan keluarga dan teman rapat sudah semakin ramai. Saudara yang jauh sudah berhari-hari tiba. Esok lusa mereka ingin pulang. Datang semata meraikan perkahwinan ini.
Jika mampu ditahan masa dari bergerak. Ingin sahaja disuruh berhenti. Walaupun kita tetap duduk ataupun tidak bergerak, masa tetap bergerak dan berlalu. Penungguan sedetik beralih dan berlalu. Merimaskan hati ayah. Mendera jiwa si pengantin. Para tetamu sudah habiskan tegukan dan suapan mereka. Kini mereka juga mula tertanya-tanya apakah yang berlaku. Musibah apakah yang sedang menimpa si pengantin lelaki. Apakah ada kemalangan buruk terjadi telah terjadi. Apakah itu, apakah ini, banyak sudah diborak, dibisik dan ditanya-tanya.
Setelah sebegitu lama menanti, sampailah sebuah motosikal (ataupun basikal). Si ayah pengantin perempuan berlari menerpa turun. Dalam keadaan yang meributkan itu, si penunggang itu, mewakili keluarga pengantin lelaki memaklumkan pengantin lelaki tidak akan datang dan tiada perkahwinan akan berlangsung. Si ayah bagaikan ingin rebah untuk menanggung berita buruk itu. Apalah salahnya anak perempuannya sehingga dihukum dengan keputusan itu? Riuh di luar rumah sudah sampai ke dalam. Berita itu sudah sampai ke pengetahuan si bakal pengantin. Bisik-bisik menjadi-jadi. Pembatalan perkahwinan itu menjadi tanda-tanya. Apakah erti semua ini? Semua mencari-cari sebab. Apakah sebabnya berpunca dari pengantin lelaki? atau apakah sebabnya berpunca dari pengantin perempuan?
Malu dan kehormatan sebuah keluarga sudah terhina pada malam itu. Bagi lelaki, mereka masih lagi ada peluang untuk meneruskan hidup mereka seperti biasa. Jika malu pun hanya seketika. Tetapi bagi perempuan lebih-lebih anak gadis, sekali imejnya tercalar dan dihina, keluarga lelaki manakah lagi yang sudi datang melamarnya biarpun aibnya bukan punca dari perempuan. Jika adapun, si perempuan perlu menunggu sekian lama sehingga kisah-kisahnya ini tenggelam dan tak berungkit lagi. Sewaktu itu, usianya pasti sudah bertambah. Dirinya pasti semakin tua, keayuannya juga akan luntur.
Berbalik kepada kisah ini, episodnya tidak berhenti di situ. Ia tak berhenti pada pembatalan pernikahan. pada tulisan tazkirah ringkas Ummu Abbas, ‘bahawa antara tanda-tanda kasih sayang Allah ialah Dia menyelamatkan hamba-hamba-Nya dari fitnah’.
Di kalangan tetamu yang hadir, ada seorang wanita yang dipanggil sebagai Mak Engku. Orangnya masih muda, dalam lingkungan 30 an. Mak Engku bangkit mencari-cari suaminya. Terus dipegang suaminya dan berbincang dengannya. Episod seterusnya, Mak Engku bertemu si ayah pengantin, mewakili suaminya, meminang anak perempuannya untuk suaminya.
Pencarian hikmah di atas apa yang dibuat oleh Mak Engku, saya percaya dapat difikirkan dengan mendalam oleh rakan-rakan semua.
Apabila timbul isu poligami dan ditimbulkan tuduhan umum wanita cepat beremosi. Hati saya bagaikan ditarik-tarik mengenangkan kisah ini. Kisah seorang wanita yang sanggup berkorban untuk wanita lain sekalipun saudaranya itu tiada pertalian keluarga dengannya.
No comments:
Post a Comment