1. Daripada Anas r.a katanya : Bersabda Nabi saw :
“ Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadhan lantas dia memuji Allah ( Alhamdulillah ) ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaannya ). Kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan itu .”
2. Kelebihan bulan Ramadhan dan keagungannya dengan adanya Malam Lailatulqadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta rahmat dan darjat tertinggi bagi orang yang berjaga mendapatkan malam Lailatulqadar dengan dipenuhi amal ibadat dan bertaqwa kepada Allah disamping sembahyangnya yang sunat, istighfar, tasbih dan berzikir sepanjangnya.
3. Berkata Saiyidina Ali Karromallahuwajhah, Nabi saw telah bersabda :
“ Apabila engkau melihat seharibulan maka bacalah olehmu ‘Allahu Akbar’ 3 kali , kemudian bacalah ‘ Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan engkau dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat ( darjat ) dan telah menjadikan engkau tanda ( kekuasanNya ) bagi sekalian alam ’.
Allah bermegah akan hambaNya di hadapan Malaikat melalui firmanNya yang bermaksud : “ Hai Malaikat ! Saksikanlah kamu bahawa Aku telah memerdekakannya ( hamba ) daripada api neraka .”
Atau dibacakan ayat yang bermaksud : Ya Allah! Zahirkanlah Ramadhan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keislaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah .
“ Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini ? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .
Lalu Allah berfirman : Hai Ridhwan, bukakanlah pintu syurga Babuljannan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Nabi Muhammad saw . Hai Malik Zabaniah , tutuplah pintu neraka al-Jahim daripada umat Nabi Muhammad saw . Hai Jibril belenggukanlah syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad saw akan puasanya . Maka Firman Allah pada tiap-tiap malam Ramadhan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun ? Akan Aku ampunkannya . ( Al-Hadith )
5. Pada Malam Lailatulqadar, Allah Taala menyuryh akan Jibril as turun ke bumi . Lalu turunlah Jibril ke dalam perhimpunan Malaikat ke bumi bersama bendera hijau lalu dipacakkan di atas Ka’abah. Sayapnya 600, setengahnya tiada dibuka kedua-duanya, melainkan pada malam Lailatulqadar baharudibukakan kedua-duanya sehingga sampai dari timu ke barat ( masyriq ke maghrib ) untuk menyelamatkan umat Muhammad saw . Ia memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatulqadar beribadat kerana mencari keredhaan Allah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesame orang mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hinga terbit fajar subah .
Para Malaikat berkata kepada Jibril, apakah Allah menunaikan hajat orang mukmin dari umat Nabi Muhammad saw pada bulan Ramadhan ini ? Jawab Jibril : Bahawasanya Allah menilik kepada umat Nabi Muhammad saw yang berpuasa dan beribadat kepadaNya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya, iaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibu bapanya, orang yang memutuskan silaturahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih daripada 3 hari .
6. Apabila pada malam akhir Ramadhan dinamakan malam persalinan. Pada pagi hari raya aidilfitri didatangkan Allah, Malaikat kepada tiap-tiap negeri, turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia. Mereka berkata : Hai umat Muhammad saw ! Keluarlah kamu menghadap Tuhan yang amat Mulia ( sembahyang raya di pagi raya ) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar .
Apabila umat Muhammad saw tiba ke tempat sembahyang, Allah berfirman kepada Malaikat : Hai MalaikatKu, apakah balasannya orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab Malaikat : Hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya . Firman Allah : Bahawa Aku saksikan kamu hai MalaikatKu, telah aku jadikan pahala dari puasa mereka pada bulan Ramadhan dan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredhaanKu dan keampunanKu, tiada memohon kepadaKu hari ini akan sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu .
“ Diberikan kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya .”
· Bau mulutnya orang puasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah .
· Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya .
· Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatulqadar .
· Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan digandakan kepada sepuluh hingga tujuh ratus ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berpuasa menahan syahwatnya, makan minumnya kerana Aku .
· Dan mereka dikurniakan nikmat, kepada mereka keseronokan ketika berbuka dan ketika menemui Tuhan di akhirat . ( Al-Hadith )
“ Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70 kali ganda . Bulan puasa adalah bulan sabar ( sabar dalam berbuat taat kepadaNya ) , dan sabar itu adalah syurga balasannya . Bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambaNya orang mukmin , diampunkan baginya dosa-dosa , barangsiapa memberi makan kepada orang yang berpuasa , pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya .” Berkata sahabat : Bagaimana jika kami tidak sanggup memberi makan orang yang berpuasa ( berbuka puasa ) ya Rasulullah ? Nabi bersabda : “ Allah memberi pahala kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma , atau segelas air. Barangsiapa mengenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya , Tuhan memberi minum daripada kolam Haudh sejenis minuman yang tiada dahaga-dahaga lagi kemudiannya , hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa . ( Al-Hadith )
9. Puasa menurut yang disuruh dan menjauhkan segala pantang larangnya, diampunkan dosanya dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah yang indah di dalam syurga .
10. Barangsiapa hadir ke dalam majli zikir pada bulan Ramadhan, ditulis pada tiap langkahnya ibadatnya setahun dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota yang bercahaya indah cemerlangnya dan yang berbakti kepada ibu bapanya, Allah memandang rahmat kepadanya dan isterinya yang berbuat sesuatu mencari keredhaan suaminya maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya seperti Siti Mariyam dan siapa menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya dan siapa bersedekah kepada fakir miskin ( yang berada anak isterinya ) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya . ( Al-Hadith )
11. Orang yang sembahyang pada bulan Ramadhan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya seribu tujuh ratus kebajikan dan dibinakan rumah di dalam syurga daripada permata . Bagi orang yang berpuasa dan beribadat , tujuh puluh ribu Malaikat meminta ampun baginya daripada pagi hingga tenggelam matahari dan dibina sebuah mahligai baginya .
12. Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malik Ridhwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malik Ridhwan berikan segala keinginan mereka, dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malik Ridhwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan, minuman dan buah-buahan, sebagai balasan berlapar di bulan Ramadhan .
13. Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadhannya, dia berbalik badannya sambil menyebut nama Allah, maka berkata Malaikat kepadanya yang bermaksud ( Allah mencucuri rahmat kepada engkau ). Apabila dia berdiri maka berdoalah hamparannya :
“ Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani tebal kepadanya di dalam syurga .”
Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian :
“ Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya pakaian syurga .”
Apabila memakai kasut berdoalah kasut :
“ Wahai Tuhanku, tetaplah kakinya atas titian Siratalmustaqim .”
Apabila memegang timba, berdoalah timba :
“ Wahai Tuhanku , kurniakanlah kepadanya gelas syurga .”
Apabila mengambil air sembahyang, berdoalah :
“ Wahai Tuhanku, sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan .”
Apabila berdiri sembahyang, berdoalah rumahnya :
“ Wahai Tuhanku, cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah atau lapangkanlah kubur serta menilik Allah kepadanya, maksudnya : hambaKu berdoa dan Aku menerima ! ( Al-Hadith )
14. Malaikat yang banyak muka sujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud, satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy lalu berkata Malaikat itu : “ Wahai Tuhanku, ampunilah umat Nabi Muhammad saw, kasihanilah mereka! Janganlah diseksa orang yang berpuasa Ramadhan dari umat Nabi Muhammad saw .
15. Ramadhan ertinya bulan mendapat keredhaan Allah dan keampunan Allah bererti memberi jaminan ( kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat ) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar-benar melakukan ibadat keranaNya pada bulan Ramadhan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatulqadar .
16. Bahawasanya di dalam syurga terdapat bilik-bilik dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan luarnya. Berkata sahabat : Untuk siapakah itu ya Rasulullah ? Lantas beliau menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan , bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang smbahyang di tengah malam sedang manusia dalam nyenyak tidur . ( Al-Hadith )
17. Semulia-mulia sedekah ialah sedekah pada bulan Ramadhan . ( Al-Hadith )
18. Puasa itu perisai dan sedekah itu memadamkan kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api ( Al-Hadith )
19. Siapa memberi makan ( berbuka puasa ) kepada orang puasa maka baginya seumpama balasan pahala orang berpuasa dengan tidak kurang sedikit pun . ( Al-Hadith )
“ Tiada daripada seorang hamba yang berpuasa Ramadhan, diam tiada berkata-kata yang sia-sia dan daripada yang haram dan makruh dan sentiasa menyebut Allah ( berzikir Allah ) , menghalalkan yang dihalalkan Allah , mengharamkan akan yang diharamkan Allah , tiada mengerjakan kejahatan , melainkan sehingga berakhir Ramadhan , telah diampunkan baginya segala dosanya dan tiap tasbih, tiap tahlil dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( Huurul’ain – isteri syurga ), terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi sekaliannya .” ( Al-Hadith )
“ Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepadanya pada menyempurnakan segala hajat yang di perlukan. Mereka itulah orang yang aman daripada seksa Allah .”
( Rawahu Al-Thabrani- Al-Hadith )
“ Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadhan hingga akhir malam Ramadhan. Tiap orang yang bersembahyang pada malamnya ditulis baginya tiap satu sujud, seribu tujuh ratus kebajikan, dibina rumah baginya tujuh puluh pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata merah indah. Orang yang berpuasa pada awal Ramadhan diampunkan segala dosanya hingga ke akhir bulan Ramadhan, dibina baginya tiap-tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunyai seribu daripada emas dan minta ampun baginya 70 ribu Malaikat dari pagi hingga tenggelam matahari . ( Al-Hadith )
“ Kelebihan hari jumaat pada bulan Ramadhan atas segala hari yang lain seperti kelebihan Ramadhan atas segala bulan.” ( Al-Hadith )
24. Barangsiapa yang mengerjakan ibadat pada bulan Ramadhan dengan keimannya dan ikhlasnya kerana Allah , maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu .
“ Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat dan nafsunya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab , dosanya diampunkan Allah dan amal ibadatnya dilipatgandakan .”
26. Apabila berakhir bulan Ramadhan , menangis wali-wali Allah kerana berpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatganda daripada bulan-bulan yang lainnya. Bulan Allah mudah menerima ampun taubat hamba-hambaNya, bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatulqadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba-hambaNya yang solehin yang tidak terdapat pada bulan-bulan yang lain . Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun-tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur .
27. Apabila berakhir malam bulan Ramadhan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala Malaikat, kerana berlalu Ramadhan berlalulah kelebihannya, sebab musibah bagi umatKu dan duduk segala Malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasulullah saw, apa itu musibah ? Jawab Rasulullah saw kerana segala doa padanya itu mustajab, sedekah makbul, segala kebajikan digandakan dan seksa kubur terangkat , maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatKu. ( Al-Hadith )
28. Malam Lailatulqadar adalah malam rahsia , yang turun padanya Malaikat Jibril dan beberapa Malaikat dengan perintah Allah . Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatulqadar yang penuh rahsia itu yang tiada diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solehin yang muqarrabin, orang yang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuluh malam Ramadhan yang terakhir maka diampunkan Tuhan segala dosa-dosanya. Diberi pahala dengan banyaknya, dirahmatkannya dengan penuh limpah kurnia dan orang-orang solehin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatulqadar itu suatu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat , mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hayatnya, mendapat keredhaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat .
29. Malam Aidilfitri, malam raya disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadat, bertakbir “ Allahu Albar ” sepanjang malamnya, akan mendapat keampunan yang banyak , pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya ( Aidilfitri dan Aidiladha ) dengan ibadatnya dan takbirnya, tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati . ( Al-Hadith )
Apabila kamu berpuasa maka hendaklah berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu, lidahmu daripada dusta dan dosa, dan tinggallah menyakiti khadam . Hendaklah kamu hormatinya dan bersikap tenang pada hari puasamu . Jangan kamu samakan hari puasa dengan hari tidak puasa .